Peserta takaful boleh menarik
nafas lega apabila Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara mengeluarkan satu
resolusi bahawa takaful boleh dihibahkan. Ini bermaksud sebarang faedah
kematian boleh diberi terus kepada penama tanpa perlu difaraidkan. Keputusan
MPS pada 5 November 2014 berasaskan pertimbangan memandangkan peserta memilih
untuk membahagikan manfaat takaful kepada penama secara hibah ketika hidup
(peserta), adalah adil dan munasabah jika setiap penama mendapat bahagian sama
rata bukan peratusan bahagian masing-masing.
Kaedah itu boleh mengelakkan
timbulnya persengketaan sesama penama jika satu pihak mendapat bahagian yang
lebih berbanding pihak lain. Dalam kes kematian penama sebelum kematian peserta
dan tiada penamaan baharu dibuat, hibah manfaat akan dikembalikan kepada
peserta kerana tiada penerima bahagian hibah itu. Oleh itu, bahagian manfaat
itu hendaklah diurus berdasarkan hukum dan prinsip faraid selepas kematian
peserta kerana manfaat itu akan menjadi sebahagian daripada harta peserta. MPS
pada mesyuarat ke-114 pada 28 Julai 2011 juga memutuskan jika penamaan dibuat
kepada lebih daripada seorang benefisiari tanpa menyatakan bahagian peratusan
masing-masing, pembahagian manfaat takaful perlu diberi secara sama rata kepada
setiap penama sebagai benefisiari.
Resolusi ini dinyatakan dengan
jelas dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dalam Jadual 5 yang
mengatakan peserta takaful berhak menamakan sesiapa sahaja sama ada sebagai
penama atau pentadbir bagi faedah takaful.
Apa itu hibah
Hibah bermaksud pemberian
pemilikan sesuatu barang kepada seseorang tanpa sebarang balasan. Ia adalah
kontrak satu pihak dan mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara
sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa
balasan (iwad). Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi
syarat, iaitu barang atau harta yang halal serta mempunyai nilai di sisi
syarak.
Barang dihibahkan mestilah wujud
ketika dihibahkan. Mengikut Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali, hibah terhadap
harta yang dikongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Mengikut
Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika
mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Ini juga terpakai kepada
rumah yang diinsuranskan di bawah MRTA yang ingin dihibahkan perlu mendapatkan
keizinan dari pihak bank.
Hibah terletak di bawah bidang
kuasa pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia terletak
di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini dinyatakan dengan jelas dalam
Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Kebanyakan Mahkamah Syariah menggunakan
perkataan 'alang' sama ada ketika marad-al-maut, alang hayat atau ketika hidup
dan 'penyelesaian yang dibuat tanpa balasan' merujuk kepada hibah atau
pemberian. Penggunaan perkataan sama dapat dilihat dalam Enakmen Pentadbiran
Agama Islam negeri seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah,
Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Peserta takaful ada hak Seksyen 46
(2) (b), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1993 (Akta 505) memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah, termasuk
mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding berkaitan wasiat atau
alang ketika marad-al-maut, alang ketika hidup atau penyelesaian dibuat tanpa
balasan memadai dengan wang atau nilaian wang. Undang-undang sudah memberikan
kuasa penuh kepada peserta takaful dalam melantik penama sebagai pemegang
amanah, pentadbir atau penerima hibah.
Kebanyakan syarikat takaful hari
ini menyediakan takaful berserta pelaburan. Ini juga terpakai kepada simpanan
akaun pelaburan takaful, melainkan peserta telah mengatakan dengan jelas
sebaliknya. Berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penama
hanyalah pentadbir. Ini diputuskan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun
1978 yang mengatakan lantikan penama oleh orang Islam dalam mana-mana badan
atau institusi mereka menyimpan adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris
yang berhak menerima pusaka cuma ia sebagai pelaksana untuk membahagi harta pusaka
itu kepada waris mengikut hukum syarak. Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000 menjelaskan, wang KWSP dan
wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.
Penama KWSP adalah wasi atau
pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati)
mengikut hukum faraid. Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada
9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia yang menjelaskan
bahawa wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka. Kaedah pembahagian
harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.
Sumber dari : http://www.bharian.com.my/node/55193
Sumber dari : http://www.bharian.com.my/node/55193
Jom Berhibah dengan Takaful- Hubungi 019-6122150 Wan
Azhan untuk maklumat lanjut maupun temujanji....Kita tidak
tahu apa yang akan terjadi esok..tapi kita boleh merancang awal
untuk menghadapi sebarang kemungkinan....
No comments:
Post a Comment